Akaun hasnulcreates.onpay.my telah dibekukan. Segala kesulitan yang dialami adalah amat dikesali.
Pendaftaran Perlaksanaan Ibadah Qurban / Aqiqah

SYARIAT & HIKMAH AQIQAH

Takrif & Hukum Aqiqah

Aqiqah menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi pada kala  waktu lahirnya.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari.

Menurut istilah hukum syarak  aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, di samping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”

Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Ibnu Al-Qayyim menegaskan bahawa aqiqah itu memelihara bayi tesebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.

Juga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” (Maksud hadis riwayat Tirmidzi)

Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi. Imam Ibnu Qayyim pula menyabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail AS.. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.











Kadar Haiwan Aqiqah  dan Masa Aqiqah

Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.

Jenis HaiwanUmur Minima
1. KibasSatu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan
2. Biri-biri, domba dan kambingmelebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan / hadapannya
3. Lembu dan kerbaumelebihi dua tahun
4. Untamelebihi lima tahun

 

Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.

  • Yang lebih utama untuk kadar aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, menurut hadis riwayat Aisyah yang maksudnya:
    “Rasullulah SAW memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”
  • Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah SAW telah membuat aqiqah untuk cucu Baginda SAW Saidina Hasan dan Husin RA, masing-masing seekor kibas.
  • Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
  • Imam Malik, Asy Syafi’e, Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (sama seperti ibadah korban). Juga dibolehkan seekor unta atau seekor lembu misalnya dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian daripada lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.
  • Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).

Apabila anak sudah dewasa, maka ada para ulama’ menetapkan sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya. Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.
















Ketetapan Mufti

  • Lembu yang dibeli untuk ibadah aqiqah mestilah berumur lebih dua tahun, tidak sakit, tidak cacat, tidak kurus, tidak buta dan tidak bunting. Manakala kambing pula cukup umurnya mengikut ketentuan syarak.
  • Lembu dan kambing untuk ibadah aqiqah hendaklah disembelih dan jamuan aqiqah disempurnakan.
  • Sijil pengesahan penyempurnaan ibadah aqiqah diserahkan kembali oleh Ahli Jawatankuasa Masjid/ Surau kampung atau wakil Urus Setia kepada Ketua Urus Setia program YBhg Haji Zakaryya Adam.





Perbezaan Korban & Aqiqah

Antara perbezaan korban dan aqiqah ialah:

  1. Daging korban lebih utama disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah iaitu belum dimasak. Manakala daging aqiqah lebih utama disedekah kepada fakir miskin dan boleh juga kepada orang-orang kaya dalam keadaan sudah dimasak. Hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah menyatakan bahawa:

“menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” (maksud hadis)

  1. Daging aqiqah sunat dimasak dengan yang manis-manis, dengan doa harapan agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang.
  2. Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya manakala tulang-tulang haiwan korban tidak sedemikian.
  3. Tempoh menyembelih ternakan korban hanya 4 hari dalam setahun, iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah sedangkan menyembelih ternakan aqiqah tidak terbatas kepada hari-hari tersebut, bahkan boleh dibuat pada bila-bila hari yang sesuai.
  4. Tuntutan melakukan ibadah aqiqah hanyalah sekali sahaja sepanjang hayat, manakala tuntutan melakukan ibadah korban ialah setiap tahun hijrah.













Syariat / Hikmah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” Al-Kautsar:

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripadaNya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya.”

Nabi SAW juga telah bersabda yang bermaksud:

Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Hukum Korban

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Fadhilat Korban

 Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali.

Saidina Ali Bin Abi Talib RA telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.

Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 malaikat yang mendoakan dan meminta keampunan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail AS. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat.

Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim.”

Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad SAW sesuai dengan maksud sabda Rasulullah SAW:

“Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban.”

Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat.”